DARI IBU UNTUK PEMINAT BLOG

Thursday, July 17, 2008

SILINGAN - MAKANLAH NASI SECARA BERHEMAT

HARI NI KITA CERITA NASI LAK ..

Oleh Melati Mohd Ariff KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama)


Nasi adalah makanan ruji rakyat Asia termasuk Malaysia. Agak sukar untuk menyuruh mereka menukar tabiat makan kepada ubi kentang atau roti. Memandangkan masalah bekalan beras serta harganya yang melonjak tinggi kebelakangan ini, pengguna hendaklah berhemah ketika makan nasi.


Harga beras yang melambung kini, memang membimbangkan banyak pihak dan dalam masa yang sama, memaksa masing-masing berfikir mengikut keutamaan yang diperlukan.Di pihak kerajaan ia bertekad mengambil langkah perlu bagi menjamin bekalan beras yang mencukupi di pasaran tempatan. Di samping menambah import beras, penanam padi di negara ini juga diberi insentif untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi yang dituai.


Masyarakat pengguna pula, di samping tidak melakukan pembelian panik yang boleh menjejaskan bekalan beras negara, mungkin mahu melihat kepada pinggan atau periuk nasi mereka, berapa banyak nasi yang mereka makan atau berapa banyak nasi yang ditanak. Perkara ini mungkin satu isu yang sensitif bagi kebanyakan orang yang menjadikan nasi sebagai makanan asasi.Tidak berapa lama dahulu, seorang pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) memberikan perangkaan bahawa secara purata seorang rakyat Malaysia makan 200 gm nasi sehari atau 78kg setahun. Jumlah itu, katanya, perlu dikurangkan secara berperingkat untuk menangani isu kekurangan bekalan beras.


KURANGKAN KUANTITI - Sememangnya beras adalah makanan ruji sebahagian besar rakyat Malaysia. Malahan mungkin ada yang berkata mereka tidak boleh hidup tanpa makan nasi walaupun sehari! Namun cuba kita fikirkan berapa banyakkah nasi yang perlu kita ambil sekali kita makan?"Nasi adalah makanan ruji rakyat Asia jadi agak sukar jika kita mahu menyuruh mereka makan ubi kentang atau roti. (sama juga) Anda takkan boleh nak suruh orang Inggeris supaya jangan makan roti atau ubi kentang," kata pakar pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John kepada Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurut Easaw-John, kebanyakan orang memerlukan sekurang-kurangnya makan nasi sekali sehari.Bagaimanapun, memandangkan masalah bekalan beras serta harganya yang melonjak tinggi kebelakangan ini, beliau berpendapat pengguna boleh cuba mengurangkan kuantiti nasi yang dimakan."Berapa banyak nasi yang anda perlu makan bergantung kepada pengambilan kalori anda," katanya. Easaw-John memberitahu bahawa dalam sehari secara puratanya seseorang itu hanya perlu makan sebanyak satu setengah cawan atau dua cawan nasi sekali makan. Bagi mereka yang aktif, katanya, mereka bolehlah makan lebih daripada jumlah itu." Jika anda pekerja pejabat dan anda tidak banyak bergerak, anda tidak perlu makan lebih dari kuantiti purata tersebut. Tetapi sekiranya anda seorang penoreh getah atau melakukan kerja yang berat, anda memerlukan makanan yang lebih untuk memberikan anda tenaga," jelasnya.

MAKAN PELBAGAI - Sekiranya anda merasa keperitan membeli beras, Easaw-John ingin memberi cadangan: "Makanlah nasi secara berselang-seli dengan makanan lain.""Laksa dan bihun sebagai contoh adalah alternatif yang baik tetapi anda perlu pastikan cara masakannya," beliau memberi peringatan dan menambah, makanan lain yang boleh menggantikan nasi termasuk capati, tosai, kuetiau serta roti gandum.Katanya makan nasi secara berlebihan atau sebarang makanan lain boleh mendatangkan implikasi kesihatan yang serius."Dalam sesetengah kes, makan terlalu banyak nasi boleh menghasilkan apa yang dipanggil sebagai triglycerides (sejenis lemak). Ini berlaku kerana tubuh anda mengandungi terlalu banyak karbohidrat yang diproses."Tetapi ia bukan semata-mata berpunca daripada nasi, tabiat makan anda secara menyeluruh adalah amat penting," beliau menegaskan.

TABIAT MAKAN YANG BURUK - Secara umumnya, sikap rakyat Malaysia ke arah tabiat makan yang baik masih tidak memuaskan.Masalah kegemukan (obes) di kalangan rakyat Malaysia, seperti kata Easaw-John, menunjukkan trend yang "haru-biru."Gerai makan yang tumbuh bagai cendawan, tambahnya, langsung tidak membantu rakyat Malaysia untuk mengawal pemakanan mereka."Di mana-mana sahaja ada gerai makan. Di tepi jalan, di tepi longkang, sama ada makanan atau lokasi itu bersih ke, anda boleh lihat orang makan sahaja. Sedikit pun mereka tak kisah asap, kucing atau tikus yang menyelinap di bawah kaki mereka."Berapa banyak kedai makan mempunyai sijil HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points)? suntikan tifoid? Menghadiri kursus pengendali makanan?" soal beliau.Daripada skel 10, katanya, kesedaran rakyat Malaysia mengenai kebersihan dan kesihatan termasuk untuk kedai makan hanyalah antara 4 dan 5.Beliau juga mengeluh terhadap pertumbuhan restoran 24 jam. "Anda tak sepatutnya makan pada masa yang anda sepatutnya sudah tidur," katanya sambil menambah, restoran seumpama itu perlu juga menyajikan pilihan makanan yang sihat.

LAWATAN KE PAKAR PEMAKANAN - Rakyat Malaysia wajar sekali membuat anjakan minda berhubung tabiat makan mereka dan bukan hanya berbuat demikian apabila mereka jatuh sakit.Easaw-John turut berpendapat mereka perlu menukar sikap mereka dalam soal berjumpa pakar pemakanan.Kebanyakan rakyat Malaysia, katanya, hanya berjumpa pakar pemakanan apabila mereka berada di hospital.Kunjungan ke pakar pemakanan akan dapat membantu seseorang itu meningkatkan tahap kesihatan mereka."Amat penting untuk anda berjumpa dan berbincang dengan pakar pemakanan yang boleh membantu anda mencapai berat badan yang lebih baik," katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Easaw-John, peranan pakar pemakanan berkembang daripada hanya menjadi 'polis makanan' kepada melatih orang mengamalkan tabiat makan yang lebih sihat."Pakar pemakanan adalah orang yang berkelayakan untuk membantu anda memperbaiki kesihatan anda menerusi Terapi Pemakanan Perubatan. Anda perlu mendapatkan nasihat daripada Pakar Pemakanan dari sudut diagnosis penyakit atau sebagai langkah pencegahan."Ini akan membolehkan perubahan awal dilakukan bagi mencegah komplikasi akibat penyakit. Memang sukar untuk mendapat yang dihajatkan dalam satu sesi sahaja. Tabiat makan yang kurang baik, yang telah diamalkan bertahun-tahun, memerlukan perubahan yang perlahan tetapi dibuat secara berterusan," katanya. Beliau turut mengakui bukannya mudah untuk mengubah minda seseorang. Orang berkenaan perlu diberi motivasi untuk menguasai masalah yang dihadapi.

BELAJAR MENGATUR BELANJA - Easaw-John percaya pengguna Malaysia akan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka termasuk dalam pembelian beras serta barangan keperluan harian lain apabila berhadapan dengan kenaikan harga.Beliau turut mencadangkan supaya rakyat Malaysia belajar mencatu makanan mereka."Saya sudah biasa dengan catuan kerana saya belajar di India. Pada masa itu ada catuan beras, tepung gandum, gula dan susu. Kerajaan India memberi harga istimewa untuk barang-barang tersebut dan jika anda beli di luar, harganya lebih tinggi."Kita perlu berhemat mengatur belanja kita dalam keadaan yang sukar ini. Kenaikan harga barang bukan sahaja isu di Malaysia, bahkan seluruh dunia turut merasa bahangnya. Perlu tukar cara anda berfikir. Secara tidak langsung, keadaan ini akan menjadikan anda lebih sihat," katanya.Easaw-John berkongsi pepatah lama India: "Apabila anda hendak masak nasi, ambil segenggam daripada beras yang anda hendak masak. Dalam masa sebulan, anda sudah ada 30 genggam dan ini sudah tentu dapat membantu di masa anda memerlukan."

Kalau mahu kita boleh lakukan.

0 ulasan: